Orang ramai membanjiri Kompleks Sukan Kuala Selangor sempena Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 23 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai ambil peluang daftar Padu di program Madani Rakyat

KUALA SELANGOR, 23 FEB: Kaunter fizikal Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka sempena Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini bermula hari ini hingga Ahad, memudahkan orang ramai untuk membuat pendaftaran yang hanya mengambil masa 10 minit.

Tinjauan Bernama mendapati kaunter pendaftaran PADU yang dibuka 9 pagi hingga 6 petang itu dikunjungi pelbagai lapisan umur bagi mendapatkan penerangan secara bersemuka sekali gus memudahkan proses pendaftaran.

Pesara tentera, Tumirin Rebo, 60, berkata dia yang menetap di Kampung Bukit Cherakah, Jeram, tidak melepaskan peluang untuk hadir ke kaunter PADU bagi memahami manfaat sistem berkenaan dan mendapatkan bantuan petugas mendaftarkan dirinya serta isteri.

“Sebagai warga emas, saya agak sukar untuk mendaftar PADU menerusi telefon bimbit, jadi kaunter fizikal yang dibuka hari ini memudahkan saya mendapat maklumat daripada petugas dan menolong saya mengisi maklumat dengan mudah serta cepat,” katanya.

Penjawat awam, Lim Peng Peng, 46, dari Taman Malawati Utama, di sini pula merebut peluang untuk menyelesaikan proses kemas kini maklumat PADU yang tergendala pada tahap pengesahan identiti yang tidak berjaya dibuat sebelum ini.

“Saya pernah cuba mendapatkan bantuan menerusi panggilan ‘hotline’ dan laman web tetapi tidak berjaya, jadi hari ini saya hadir untuk mendapatkan bantuan petugas secara bersemuka dan tidak sampai 10 minit semuanya selesai,” katanya.

Suri rumah dari Bandar Baru Kuala Selangor, M Kavitha, 39, pula berkunjung ke Program MADANI Rakyat Zon Tengah itu semata-mata untuk mendaftar PADU sekali gus memastikan diri dan keluarganya tidak tercicir daripada menerima manfaat diberikan kerajaan.

“Saya sudah cuba buat di rumah tetapi ada bahagian yang tidak lengkap dan selepas tahu ada kaunter fizikal yang dibuka hari ini sampai Ahad, terus saya bawa keluarga datang untuk mendaftar.

“Proses sangat mudah di sini berbanding di rumah kerana petugas tanyakan maklumat yang tak lengkap dan selesaikan pada waktu itu juga. Jadi saya harap selepas ini kami sekeluarga tidak akan terlepas daripada mendapat bantuan kerajaan,” katanya.

Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang berlangsung selama tiga hari dan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam itu, menawarkan pelbagai acara menarik kepada pengunjung antaranya kaunter bayaran saman PDRM, penukaran topi keledar percuma selain pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Penganjuran program itu adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

– BERNAMA


Pengarang :