Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan majlis penutup Konvensyen Mahasiswa Selangor 2024 di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada 24 Februari 2024. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dana RM50,000 bantu Persatuan Mahasiswa Selangor rancakkan program di universiti

SHAH ALAM, 24 FEB: Sejumlah RM50,000 diperuntukkan kepada Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) bagi merancakkan lagi penganjuran pelbagai program di universiti.

Dato’ Menteri Besar berkata dana berkenaan juga bagi menampung perbelanjaan pewakilan PERMAS untuk turun padang bertemu mahasiswa di seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Mahasiswa Selangor 2024 di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada 24 Februari 2024. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar

“Buat masa ini ahli jawatankuasa boleh turun ke kampus berjumpa dengan mahasiswa untuk melihat kebajikan mereka. Insya-Allah, jika ada berkesempatan saya juga akan turun padang berjumpa semua jawatankuasa PERMAS di seluruh Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Mahasiswa Selangor 2024 di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini hari ini.

Konvensyen dua hari bermula semalam mengumpulkan 200 mahasiswa Selangor dari 16 institusi pengajian tinggi awam seluruh Malaysia.

Amirudin berkata konvensyen itu bertindak sebagai medium perbincangan antara mahasiswa dalam memberi cadangan atau buah fikiran kepada dasar Kerajaan Negeri.

“Selangor merupakan negeri pertama menganjurkan konvensyen ini dan ia merupakan satu permulaan yang sangat baik, konsisten dan momentum itu perlu dikekalkan demi menjaga nama baik PERMAS.

“Wujudnya konvensional ini adalah untuk melahirkan pemikiran yang boleh berbincang, berdialog, menelaah dan memahami peredaran zaman ketika ini.

“Saya sangat positif dan yakin dengan adanya program seperti ini. Yang penting bukanlah kertas kerja atau pencapaian tetapi kemahuan ditunjukkan mahasiswa mahasiswi dalam mengetengahkan minat untuk fikir sesuatu kepada negara,” katanya,

Amirudin menambah Konvensyen Mahasiswa Timur Tengah, di Amman, Jordan yang memasuki siri ketiga tahun lalu juga diteruskan lagi pada tahun ini.

“Kita juga akan mengenal pasti lagi di negara lain seperti Indonesia yang turut mempunyai ramai anak mahasiswa Selangor disana yang perlu disantuni bukan hanya soal kebajikan tetapi memberi latihan dan peluang kepada mereka untuk berkomunikasi dengan pimpinan negeri Selangor,” jelasnya.


Pengarang :