Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program Agrobandar Tanaman Melon di Persiaran Pandan 9, Ampang Jaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pemilik tanah, kebun komuniti dipelawa usahakan tanaman melon hidroponik

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 24 FEB: Dato’ Menteri Besar mempelawa pemilik tanah persendirian dan kebun komuniti menceburi penanaman melon berkonsep hidroponik.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedia menjalin kerjasama menerusi Program Agrobandar Tanaman Melon yang dilancarkan hari ini.

“Kita melihat penanaman melon membawa kepada hasil lumayan dengan tuaian hanya mengambil masa lebih kurang dua bulan.

“Jika komuniti berminat, Kerajaan Negeri boleh bantu dengan memberi latihan dan panduan berkenaan tanaman melon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan. Turut hadir EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim dan EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah.

Amirudin menjelaskan program rintis yang diusahakan di atas tanah berkeluasan 8,000 kaki persegi di Pandan Indah di sini.

“Tanaman melon mempunyai potensi tinggi susulan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran ketika ini.

“Apa yang lebih penting, ia akan dijadikan pusat contoh dan kajian sebagai projek ‘pilot’ bagi pembukaan tanaman melon di tempat lain,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau tanaman melon ketika majlis perasmian program Agrobandar Tanaman Melon di Persiaran Pandan 9, Ampang Jaya pada 24 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ir Izham berkata penanaman melon membawa pulangan lumayan dengan modal RM30,000 dan hasil jualan mampu mencecah sehingga RM120,000.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan memperluas projek berkenaan bagi tujuan komersial.

“Ada beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan. Namun kita mahu ia menggunakan kaedah sama bagi menghasilkan saiz dan kualiti buah yang terbaik.

“Oleh itu, dengan adanya program rintis agrobandar di Pandan Jaya ini, membolehkan lebih ramai pengusaha mendapatkan latihan dan panduan seterusnya meningkat ekonomi pendapatan mereka,” katanya.


Pengarang :