Ahli pasukan bergambar selepas menyertai Kejohanan Boling Kumpulan Syarikat Worldwide Holdings Berhad di Sunway Bowl Megalane, Sunway Pyramid Petaling Jaya pada 24 Februari 2024. Foto Ihsan Worldwide Holdings Berhad
AGENSISELANGOR

Kejohanan boling Worldwide Holdings kukuh jaringan kerjasama agensi, PBT, media

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 41 pasukan menyertai Kejohanan Boling Kumpulan Syarikat Worldwide Holdings Berhad (WHB) di Sunway Bowl Megalane semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata kejohanan boling itu yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum pandemik Covid-19, merupakan platform meraikan kolaborasi dan mengukuhkan jaringan kerjasama lebih erat antara Worldwide dengan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan serta organisasi media.

“Penganjuran semula kejohanan ini juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang banyak membantu dalam urusan kerja dan operasi perniagaan serta memberi sokongan berterusan kepada WHB, khususnya di bahagian Pengurusan Alam Sekitar,” katanya.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM2,550 selain pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan.

Johan bagi kategori berpasukan menjadi milik pasukan JPP Strike Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan jatuhan pin 2,359 manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi Pasukan Padu X dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN SPBT) dan pasukan Bernama Digital.

Balingan tertinggi kategori lelaki dimenangi Mohd Ikhzal daripada pasukan JPP Strike MBDK dengan jatuhan pin 640 manakala bagi kategori wanita dimenangi Norhayati Mohd Ali dari Majlis Perbandaran Hulu Selangor dengan jatuhan pin 511.


Pengarang :