ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron bergambar bersama kanak-kanak sempena program berkhatan pada Karnival Kesihatan Rahmah di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19 pada 25 Februari 2024. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Batu Tiga belanja RM3,700 taja program khatan 37 kanak-kanak

SHAH ALAM, 25 FEB: Seramai 37 kanak-kanak menyertai program khatan sempena Karnival Kesihatan Rahmah di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19 di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata pihaknya berbelanja RM3,700 bagi menampung kos pakej khatan dengan kerjasama empat doktor dari Klinik Baharuddin Shah Alam.

ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron membuat gimik perasmian menyirami air kepada kanak-kanak sempena program berkhatan pada Karnival Kesihatan Rahmah di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19 pada 25 Februari 2024. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Program ini dibuat bersesuaian dengan cuti persekolahan dan Alhamdulillah kita terima penyertaan menggalakkan daripada peserta seawal usia tujuh hingga 12 tahun.

“Program ini juga bertujuan membantu ibu bapa yang berpendapatan rendah selain mengeratkan lagi hubungan kita dengan penduduk,” kata Danial Al-Rashid Haron pada program berkenaan.

Mohd Zakie Yaakob

Terdahulu, beliau membuat gimik perasmian dengan menyirami air kepada kanak-kanak sebelum dikhatan disusuli pemberian angpau bagi menceriakan hari mereka.

Seorang bapa, Mohd Zakie Yaakob, 37, berkata anak sulungnya, Muhammad Ziqri Hakim, 9, sangat teruja dan tidak sabar untuk berkhatan pada hari ini.

“Dia bangun paling awal antara kami semua dan sejak beberapa hari lalu dia memang tidak sabar untuk datang ke sini nak berkhatan. Bagi saya inisiatif ini amat bagus membantu golongan kurang berpendapatan,” katanya.

Nur Shafina Ismail dan anaknya, Muhammad Qhaznain Khairul Ainan

Seorang ibu, Nur Shafina Ismail, 36, pula berkata anaknya, Muhammad Qhaznain Khairul Ainan, 9, memang agak gemuruh dan takut untuk berkhatan.

“Tetapi saya dan suami bercerita manfaat berkhatan ini dan sebelum itu ada bawa dia keluar makan juga bagi semangat. Insya-Allah, akhirnya dia setuju untuk datang ke sini hari ini.

“Berkhatan beramai-ramai seperti ini juga bagus anak teruja dapat berkumpul dengan rakan-rakan mungkin dapat redakan sedikit perasaan gemuruh,” katanya.


Pengarang :