Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (duduk) menyerahkan baucar bantuan persekolahan sumbangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Pasar Raya Besar Mydin, Subang Jaya pada 25 Februari 2024. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

Ringan beban buka sekolah, MBPJ hulur bantuan RM300 kepada 60 keluarga

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya menghulurkan baucar bernilai RM300 kepada setiap 60 keluarga berpendapatan rendah membeli kelengkapan sekolah.

Datuk bandarnya berkata baucar Jom Beli Belah Kembali ke Sekolah itu digunakan untuk membeli kelengkapan di Pasar Raya Besar Mydin Subang Jaya, hari ini.

“Sumbangan ini antara tanggungjawab khidmat sosial MBPJ kepada komuniti Petaling Jaya untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan serta mempunyai tanggungan anak bersekolah ramai.

“Penerima sumbangan membabitkan penduduk berdaftar di bawah eKasih yang mendiami PPR Kota Damansara, Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS) dan Desa Mentari,” kata Mohamad Zahri Samingon.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan program itu secara tidak langsung dapat membentuk modal insan cemerlang dalam pendidikan tanpa anak-anak berkenaan berasa terpinggir dengan ketidakmampuan keluarga.

“Selain itu, program ini menyokong Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di bawah Tema Strategi 2 iaitu memperkasa sokongan kebajikan sosial yang disasarkan kepada kumpulan rentan.

“Ia juga menyokong inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak dengan memberikan hak kepada kanak-kanak untuk mengakses kepada pendidikan,” katanya lagi.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tengah) bersama penerima baucar bantuan persekolahan sumbangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Pasar Raya Besar Mydin, Subang Jaya pada 25 Februari 2024. Foto MBPJ

Pengarang :