Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19, Shah Alam pada 25 Februari 2024 mendapat sambutan lebih 300 individu. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 300 individu sertai Karnival Kesihatan Rahmah DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 25 FEB: Lebih 300 individu menyertai Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19, di sini.

Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata antara pengisian program adalah pemeriksaan tekanan darah, gigi dan mata secara percuma termasuk pembukaan kaunter pendaftaran Iltizam Selangor Penyayang.

Menurutnya, program julung kali itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan penjagaan kesihatan dan mendapatkan nasihat pakar.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berucap pada Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19 Shah Alam pada 25 Februari 2024. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, sambutan menggalakkan meski kali pertama dianjurkan dan kita bercadang adakan karnival ini tiga kali setahun supaya lebih ramai cakna dengan kesihatan mereka.

“Kita juga turut memberi cermin mata secara percuma kepada 10 individu terawal bagi meringankan beban terutama dalam golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program itu turut mendapat kerjasama Klinik Baharuddin Shah Alam; Dentistry For The Needy; Cerah Optique; World Vision Optics dan Islamic Dental Association of Malaysia.

Sementara itu, peserta Mariyani Yusof, 45, berkata beliau tidak melepaskan peluang setiap kali adanya karnival seumpama itu untuk mengetahui status kesihatannya.

Mariyani Yusof, 45, peserta Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19, Shah Alam pada 25 Februari 2024. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, setakat ini saya sihat sahaja dan tiada sejarah penyakit. Saya harap lebih ramai mengambil cakna isu penjagaan kesihatan terutama golongan muda,” katanya.

Mat Noor Harun, 74, bersyukur menerima cermin mata percuma memandangkan kos cermin mata di luar agak mahal dan sukar baginya yang kurang mampu.


Mat Noor Harun, 74, peserta Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan Masjid Al-Ubudiyyah, Seksyen 19, Shah Alam pada 25 Februari 2024. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

“Terima kasih YB (Yang Berhormat) Danial menaja cermin mata ini, saya berharap program begini diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada orang miskin,” katanya.


Pengarang :