AGENDAJENAYAH

Polis siasat kes tular lelaki rotan anjing peliharaan

JOHOR BAHRU, 25 FEB: Polis telah merekodkan keterangan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian tular penderaan seekor anjing peliharaan di sebuah taman perumahan di Johor Jaya di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya sedang menyiasat lanjut kes berkenaan susulan menerima laporan berkaitan kejadian yang berlaku pada 9.30 malam, Khamis lepas itu daripada seorang pengadu.

“Pengadu yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun mendakwa melihat sendiri perbuatan lelaki berkenaan.

“Sehubungan itu, polis telah mengambil keterangan individu (lelaki) dalam video terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan penganiayaan terhadap haiwan peliharaan dan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang perlindungan terhadap haiwan.

Terdahulu, satu video berdurasi 29 saat tular menerusi laman Facebook akaun Malaysian Dogs Deserve Better menunjukkan seorang individu merotan anjing peliharaannya.

-BERNAMA


Pengarang :