Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra bersama ahli Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 26 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sultan Ibrahim ingatkan jaga keharmonian, jangan sentuh isu raja, kaum, agama

SHAH ALAM, 26 FEB: Yang di-Pertuan Agong mengingatkan semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan raja, kaum serta agama.

Sultan Ibrahim bertitah Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi dan akan kekal terpelihara namun agama lain boleh diamalkan dengan aman tanpa menyebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini,” titah Seri Paduka Baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan kerajaan merangka dasar untuk mengukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Pepatah Melayu ada menyebut, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah Yang di-Pertuan Agong memikul amanah Raja-raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa dipelihara.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk di sebelah kanan saya atau yang di sebelah kiri saya, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara
demi kepentingan seluruh rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.


Pengarang :