Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat dan menyampaikan titah dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sultan Ibrahim seru tingkat pengeluaran makanan dalam negara, kurang kos import

SHAH ALAM, 26 FEB: Yang di-Pertuan Agong mahu usaha meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dilaksanakan lebih tersusun bagi mencapai tahap kertejaminan makanan.

Sultan Ibrahim bertitah pada masa sama kerajaan juga perlu meningkatkan program untuk meringankan beban petani, penternak, nelayan selain memastikan pendapatan golongan tersebut berada pada tahap tinggi.

“Oleh kerana kos import yang semakin tinggi kerajaan hendaklah meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara terutama bekalan makanan harian dan bahan mentah,” titah Seri Paduka Baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

Yang di-Pertuan Agong bertitah kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun lalu berkembang sebanyak 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada pada tahap sederhana.

“Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3 peratus dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus pada 2023. Jumlah pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan pada 2023.

“Bagi perdagangan antarabangsa, eksport negara mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada 2023 dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara 2024 diunjurkan berada pada tahap antara empat hingga lima peratus disokong langkah dan pembaharuan diumumkan dalam Belanjawan 2024,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim juga menyeru memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 untuk meneroka peluang ekonomi, menjana sumber pendapatan selain mempromosikan budaya dan warisan negara kepada pelancong.

“Saya juga menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan kerajaan dan mahu usaha berterusan dilaksanakan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan perkhidmatan.

“Jentera kerajaan mesti meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya. Saya tidak suka dengan sistem yang banyak ‘red tape’. Oleh itu kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.

“Saya sangat berharap semua agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes dapat diselesaikan segera. Semua kes yang dibawa ke mahkamah juga mestilah segera diadili supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara.” titah Seri Paduka Baginda.


Pengarang :