EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau perkembangan projek pembinaan Jejambat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jejambat Bandar Saujana Putra siap 95 peratus, dijangka beroperasi Mei

KUALA LANGAT, 26 FEB: Jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter yang dibina bagi mengatasi kesesakan trafik kawasan sekitar dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) itu kini mencapai proses pembinaan 95 peratus.

Menurutnya, proses pembinaan sedang giat dijalankan termasuk kerja elektrikal dan turapan serta dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum pemeriksaan spesifikasi dilakukan kira-kira sebulan.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas meninjau perkembangan projek pembinaan Jejambat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Pembinaan jejambat ini berlaku sedikit kelewatan berikutan beberapa isu antaranya Perintah Kawalan Pergerakan, kekurangan pekerja, pertukaran reka bentuk dan komplikasi kabel dan utiliti di bawah permukaan jalan perlu dialihkan.

“Kita jangka jejambat dengan kos pembinaan RM53 juta dibuka kepada umum Mei nanti dan dapat membantu daripada segi trafik, mengurangkan kesesakan di persimpangan Bandar Saujana Putra,” katanya ditemui selepas meninjau perkembangan pembinaan jejambat itu di sini hari ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tengah) meninjau perkembangan projek pembinaan Jejambat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Izham memaklumkan pihaknya telah bermesyuarat dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya membina jalan raya yang menyambungkan perumahan dan lebuh raya khusus untuk pembangunan baru.

“Penting untuk membina jalan raya menyambungkan ke lebuh raya kerana jika tiada penduduk akan melalui laluan ke perumahan dan menyebabkan kesesakan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk membina jejambat baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jejambat tersebut bakal memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna SKVE dan ELITE, dari arah Bandar Saujana Putra.

Keadaan Jejambat Bandar Saujana Putra dirakamkan ketika lawatan EXCO Perindustrian Iz Izham Hashim ke lokasi pembinaan kemudahan itu di Kuala Langat pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :