EXCO Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (Kiri) serta Pengarah Kanan Bahagian Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa (S-Daico) Invest Selangor Jamie Haniff Ramlee (kanan) pada sidang media Pameran Udara Selangor (SAS) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 26 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran udara sasar 25,000 pengunjung, potensi transaksi RM1.3 bilion

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 26 FEB: Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 diteruskan tahun ini dengan sasaran potensi nilai transaksi berjumlah RM1.3 bilion.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata program pada 12 hingga 14 September di Skypark RAC, Subang turut menyasar 25,000 pengunjung berbanding 19,217 tahun lalu.

“SAS 2024 akan membawakan pelbagai program dan aktiviti menarik termasuk menyediakan segmen baharu seperti teknologi angkasa lepas serta segmen cari dan menyelamat bagi nilai tambah pameran kepada pengunjung.

“Selain itu, pameran udara anjuran Invest Selangor ini juga akan disertai 45 negara antaranya Singapura, Korea, China dan Denmark,” katanya pada sidang media SAS 2024 di Hotel Sheraton di sini hari ini.

Orang ramai berpeluang bergambar bersama keluarga di hadapan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari dan Pengarah Kanan Bahagian Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan Jamie Haniff Ramlee.

Sze Han berkata pemain industri yang berminat untuk menyertai program tersebut boleh hubungi e-mel Sekretariat SAS di [email protected] sebelum 31 Mei untuk menikmati 5 peratus diskaun awal.

Peserta pameran yang pernah menyertai pameran udara sebelum itu juga boleh menikmati potongan harga sebanyak 10 peratus.


Pengarang :