AGENDAJENAYAH

Hampir 1,000 saman dikeluarkan polis Sibu atas kesalahan lumba haram

SIBU, 26 FEB: Polis memandang serius kegiatan lumba haram di bandar ini dengan mengeluarkan hampir 1,000 notis saman melalui Ops Samseng Jalanan dan menghadapkan 21 penunggang motosikal ke mahkamah tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata operasi berkenaan akan menjadi keutamaan dan dilaksanakan dari semasa ke semasa sejak beliau bertugas di daerah itu kira-kira dua tahun lalu.

“Saya memang ambil berat (masalah lumba haram)… bukannya hanya masyarakat ambil berat dan salur maklumat terus kepada saya, malah YB (Yang Berhormat) pun ada juga salur terus maklumat kepada saya.

“Saya dah arah Ketua Bahagian (Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) bukan hanya keluar saman kepada penunggang, panggil ibu bapa dan saman mereka sekali serta sita motosikal tersebut, tetapi perkara ini berterusan berlaku,” katanya menjawab pertanyaan seorang daripada ketua kaum pada Program Kepolisan Komuniti Bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak di sini hari ini.

Program dirasmikan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaae serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus.

Program terbabit bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan jenayah dan tanggungjawab bersama-sama membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencegahnya selain platform bersemuka dengan pucuk pimpinan tertinggi PDRM bagi membincang serta mencari jalan penyelesaian isu jenayah.

Zulkipli berkata mereka yang terlibat dalam lumba haram itu terdiri daripada golongan remaja seawal usia 16 tahun manakala motosikal diubah suai termasuk ekzos yang mengeluarkan bunyi bising.

– BERNAMA


Pengarang :