EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) melawat tapak projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri tubuh jawatankuasa khas tangani kemarau tahun depan

KUALA SELANGOR, 26 FEB: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi menangani fenomena El Nino yang diramal lebih teruk menjelang tahun depan.

EXCO infrastruktur berkata jawatankuasa itu ditubuh selepas satu mesyuarat dijalankan bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) Jumaat lalu.

Jelas Ir Izham Hashim, badan penyelidik itu memaklumkan kemungkinan seluruh negara berdepan musim kemarau yang teruk pada 2025 dan 2026.

“Oleh itu, kita wujudkan ‘task force’ yang diketuai LUAS untuk memastikan bekalan air diuruskan dengan baik, bukan sahaja untuk minum tetapi keperluan pertanian selain mengelakkan catuan.

“Selain itu, sepanjang tahun ini, air di empangan masih mencukupi untuk mendepani musim kemarau dalam tempoh sembilan bulan berikutan berada di paras 85 peratus ke atas,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Muka Sauk (LRA) Rantau Panjang, Kuala Selangor di sini hari ini.

Tambah Izham, agensi lain yang turut berada dalam jawatankuasa itu ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.


Pengarang :