EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) melawat tapak projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dua pakej skim jaminan air hampir selesai, jangka operasi awal April

KUALA SELANGOR, 26 FEB: Dua daripada empat pakej projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menangani isu bekalan air di Lembah Klang dan Putrajaya dijangka beroperasi awal April ini, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang, Kuala Selangor dan Sungai Semenyih, Jenderam Hilir kini mencapai lebih 90 peratus.

“Dua pakej ini kita jangka beroperasi Mac ini atau selewatnya awal April. Manakala, dua lagi pakej yang dilaksana di Bestari Jaya, Kuala Selangor pula dijangka siap sepenuhnya pada Ogos depan.

“Pelaksanaan projek SJAM ini membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air jika berlakunya pencemaran kerana 67 peratus bekalan air penduduk di Selangor bergantung kepada LRA Semenyih, Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan projek SJAM di maka sauk Rantau Panjang di sini, semalam.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) melawat tapak projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

SJAM yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tahun lalu membabitkan empat pakej merangkumi proses pengepaman, pembinaan rumah pam, kolam takungan dan lencongan sungai.

Untuk menjayakan projek tersebut, pentadbiran negeri memperuntuk RM332 juta termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi LRA jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor dan pemantauan skuad pantas agensi berkenaan.

 


Pengarang :