Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

3,483 kes denggi dengan empat kematian, Selangor rekod 144 lokasi tumpuan

PUTRAJAYA, 27 FEB: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 3,483 kes pada Minggu Epidemiologi ke-7 (ME07) 2024 iaitu bagi tempoh 11 hingga 17 Februari lalu berbanding 3,631 kes pada minggu sebelumnya, dengan empat kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME07 ialah 25,541 kes berbanding 15,243 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Terdapat 14 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME07 menurun kepada 185 berbanding 199 pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 144 lokaliti direkodkan di Selangor, 17 di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan (enam), Perak (sembilan), Pulau Pinang (empat) dan masing-masing dua di Kedah dan Sabah serta satu di Pahang.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, hanya satu kes direkodkan pada ME07 menjadikan jumlah kumulatif kes setakat kini adalah empat.

Bagi survelan zika, katanya 307 sampel darah telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya negatif.

– BERNAMA


Pengarang :