Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam Sidang Dewan Rakyat pada 27 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tangani peningkatan kes tipu dalam talian, kerajaan rangka akta baharu

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan dalam proses merangka akta baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan sistem ‘kill switch’ untuk meningkatkan keselamatan digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata akta baharu yang terperinci dan jelas itu selaras keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat.

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata selain itu penelitian juga sedang dilaksanakan kerajaan melalui agensi yang berkenaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang lain.

“Seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi membolehkan pengembalian wang penipuan kepada mangsa-mangsa.

“Terdapat keperluan segera bagi pewujudan satu sistem ‘kill switch’ melalui perundangan dalam memberhentikan aktiviti penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian di Malaysia secara serta-merta,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang ingin tahu usaha dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata kerajaan memandang serius isu jenayah dalam talian dan usaha ke arah menangani isu ini sudah dimulakan.

“Akan dipastikan supaya individu tidak bertanggungjawab tidak lagi mempunyai sebarang ruang dan peluang untuk memperdaya rakyat melalui penipuan dalam talian lagi setelah undang-undang baharu bagi menangani isu ini dapat diluluskan dan dikuatkuasakan kelak,” katanya.


Pengarang :