Pegawai Imigresen memeriksa kawasan hutan di sekitar Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada 2 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Baki 30 pendatang tanpa izin yang melarikan diri masih diburu

PUTRAJAYA, 27 FEB: Jabatan Imigresen (JIM) sedang berusaha memburu baki 30 pendatang tanpa izin yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak pada 1 Februari lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh berkata mereka dipercayai masih berada sekitar Perak, iaitu dalam kalangan komuniti mereka.

“Kita masih mengesan baki 30 orang berkenaan dan kita percaya mereka sudah berada dalam masyarakat mereka. Kita laksana operasi ke kawasan penempatan warga asing khususnya Rohingya iaitu operasi masih menjadi keutamaan kita.

“Setiap kali operasi dilakukan di penempatan warga asing, semakan cap jari juga akan dibuat memandangkan kemungkinan mereka (tahanan) sudah berada dalam masyarakat dan sukar untuk buat pengecaman wajah,” katanya di sini hari ini.

Pada 1 Februari lalu, 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 merupakan etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Ditanya mengenai status pengoperasian Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Ruslin berkata depot berkenaan masih ditutup buat sementara manakala JIM dalam proses akhir untuk mendapatkan laporan serta cadangan berkenaan hala tuju depot itu.

Beliau berkata Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan agensi penguat kuasa lain juga telah mengadakan lawatan ke depot berkenaan bagi tujuan memberikan maklum balas berkenaan hala tuju itu.

“Kesemua ini akan dijadikan sebagai asas untuk kita bawa syor mungkin pada Mac ini kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Kes di Bidor ini kita akan jadikan sebagai tindakan penambahbaikan aspek keselamatan dan akan diperluas ke depoh lain sekiranya ada keperluan,” kata Ruslin.

Dilaporkan selepas insiden berkenaan, seramai 435 pendatang tanpa izin yang berada di depot berkenaan itu telah dipindahkan ke enam depot tahanan antaranya Machap di Melaka, Lenggeng di Negeri Sembilan, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Kemayan di Pahang dan Langkap di Perak.

– BERNAMA


Pengarang :