PETALING JAYA, 27 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran Ikon Berbasikal Selangor (CSI) dalam usaha menyokong pembangunan sukan berbasikal negeri.
Projek inisiatif Selangor Youth Community (SAY) yang dinaung Tengku Amir Shah itu memperkenal empat atlet muda berbasikal tempatan yang berpotensi tinggi digilap sebagai ahli sukan profesional.
Pengurus Projek CSI Amirul Aiman Mohd Noor berkata projek perintis itu diusahakan bagi menyokong pembangunan atlet sukan basikal berbakat besar untuk diketengahkan ke peringkat tinggi.
“Projek ini merupakan kolaborasi bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) dan beberapa rakan strategik kami. Sukan basikal sebenarnya berpotensi tinggi kerana kita ada banyak kemudahan bertaraf dunia di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/AMY_6836-500x333.jpg.webp)
“Atlet berbasikal juga amat berdisiplin dan mempunyai daya tahan kuat. Selain itu Raja Muda Selangor juga mahu kami mencari bakat baharu dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Terdahulu Tengku Amir berkenan mendengar penerangan ringkas yang disampaikan Amirul Aiman sekali gus melancar dan memperkenalkan empat atlet CSI di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.
Tengku Amir juga berkenan menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik antara SAY, Persatuan Berbasikal Negeri Selangor dan penaja, Innersejuk.
Turut hadir EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi, Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi serta Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Prof Shahrin Sahib.
Empat atlet berbasikal CSI yang dipilih ialah Muhd Fahmi Saharil, 18; Yong Ann Tung, 19; Fatin Nursyakira Mizy, 20, dan atlet termuda Mohammad Darwisy Hakimi Zarin, 17.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/AMY_6614-500x301.jpg.webp)