Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Toleransi ADN, anjakan paradigma penjawat awam antara intipati titah Sultan

SHAH ALAM, 28 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan ke Istiadat Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15, di sini semalam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda turut berkenan menyampaikan titah ucapan sempena persidangan yang dijadual berlangsung selama dua minggu sehingga 11 Mac mulai 10 pagi (kecuali Jumaat).

Berikut antara intipati titah ucapan Baginda yang dikongsikan dalam Facebook Selangor Royal Office:

💫 Suka Beta ingatkan kepada speaker dan ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) agar bertindak adil serta bertoleransi antara satu sama lain dan menumpukan perbahasan kepada perkara yang memberikan manfaat kepada rakyat dan kemajuan negeri.

💫 Besarlah harapan Beta untuk melihat Selangor ditadbir dengan penuh integriti, berwawasan dan efisien serta kekal dalam keamanan dan kesejahteraan.

💫 Rakyat Beta perlu diberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan pembangunan pesat yang dicapai hari ini dan Insya-Allah pada masa hadapan.

💫 Beta ingin menasihati para penjawat awam di Selangor agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

💫 Beta mahu agar kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan, dikurangkan segera. Perlu ada “sense of urgency” dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.

💫 Beta tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan oleh penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek-projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah. Sebagai contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera. Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih adadalam pemikiran penjawat awam, rakyat Beta yang akan terus menanggung akibatnya.

💫 Suka Beta mengingatkan sekali lagi kepada pihak berkuasa tempatan agar dapat melaksanakan syor Beta supaya keanggotaan ahli-ahli Majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya lima puluh peratus (50%) golongan professional dan tidak dimonopoli oleh ahli politik.

💫 Dengan adanya langkah ini, diharap segala masalah dan aduan rakyat dapat ditangani dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.

💫 Beta mahu pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain, memastikan baik-pulih (maintenance) harta awam diselenggara dengan baik. Ini termasuklah pembaikan jalan-jalan raya yang rosak, parit dan longkang yang tersumbat, lif di bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi.

💫 Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk para penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di Selangor ini selaras dengan moto “Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam” “Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara”.


Pengarang :