Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tumpu sektor semikonduktor tingkat hasil ekonomi

SHAH ALAM, 28 FEB: Sektor semikonduktor antara tumpuan pentadbiran negeri dalam usaha meningkatkan pembangunan ekonomi Selangor tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya bertemu dengan pemain industri utama dari China dan Taiwan, dengan perincian pendekatan baharu itu akan diumum kelak.

“Sebelum ini, kita tumpukan dua aspek pembangunan iaitu sektor pembuatan yang menyumbang kepada 30 peratus ekonomi selain sektor perkhidmatan.

“Tahun ini, Selangor tidak boleh ketinggalan dan kita akan fokus kepada sektor semikonduktor yang semakin berkembang,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, beliau berkata Kerajaan Negeri juga sedang meneliti sekitar Petaling Jaya untuk penubuhan pusat data.

Menurut Amirudin, lokaliti di Seksyen 50 dan 51 menjadi pilihan bagi memperluas sektor perkhidmatan berikutan kedua-dua kawasan perkilangan itu tamat tempoh pajakan.

“Kita arahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) untuk lihat semula kawasan ini untuk tumpukan sektor perkhidmatan terutama pusat data.

“Pusat data ini memerlukan jaringan yang baik dan pantas serta perlukan bekalan tenaga berterusan untuk elak kehilangan data,” katanya lagi.


Pengarang :