Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berucap dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wujudkan kaunter bersepadu di setiap DUN, tawar khidmat pelbagai agensi

SHAH ALAM, 28 FEB: Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing mencadangkan kaunter bersepadu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan diwujudkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Rajiv Rishyakaran berkata kauter itu berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pelbagai agensi bawah satu bumbung.

“Di Selangor ada pejabat yang mungkin terletak jauh antara satu sama lain. Memasuki era pendigiitilan, pusat sehenti pelbagai perkhidmatan ditawarkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain wajar diwujudkan di bawah satu bumbung.

“Sebagai contoh perkhidmatan PBT, pejabat tanah dan daerah, Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor  boleh disediakan di kaunter bersepadu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan (DYMM) Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain itu, Rajiv turut mencadangkan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengadakan lebih banyak sidang media bagi memaklumkan perkembangan gerak kerja dan program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Usaha kerajaan perlu dihebahkan. Tebal dokumen setiap kali MMKN bermesyuarat tiap minggu. Banyak usaha dilakukan tapi kita di luar mungkin tidak tahu usaha tersebut,” katanya.

Sementara itu wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim ketika mencelah perbahasan Rajiv mencadangkan Kerajaan Negeri menggunakan khidmat pempengaruh bagi meningkatkan hebahan program Kerajaan Negeri terutama dalam kalangan generasi muda.

“Saya lihat untuk generasi yang berbeza pihak EXCO tidak boleh semata-mata melaksanakan pameran dan sidang media.

“Perlu ada pendekatan daripada pempengaruh ini kerana golongan muda juga antara generasi yang menerima manfaat,” katanya.


Pengarang :