Oleh NAS NORZIELA NASBAH
KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kerajaan Negeri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Siemens Malaysia Sdn Bhd hari ini bagi meningkatkan langkah strategik transformasi digital.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MoU juga antara lain berperanan mempercepatkan kedudukan Selangor sebagai peneraju pendigitalan di Asia Tenggara.
“Kerjasama ini mempunyai potensi yang besar dalam membina lebih banyak program dan platform khususnya memperkasa Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.
“MoU ini bukan sahaja untuk menangani keperluan industri hari ini, tetapi mewujudkan permintaan tenaga kerja masa hadapan.
“Ini termasuk perkhidmatan sokongan pembangunan dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam industri yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya berucap di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut antara Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Tindaro Danze.
Sementara itu, Tindaro berkata kerjasama itu meletakkan Siemens di barisan hadapan dalam memajukan inisiatif transformasi digital negeri.
“Melalui khidmat nasihat dan rundingan kami, Siemens menyokong kerajaan dalam visinya mempercepatkan transformasi digital seterusnya mewujudkan peluang perniagaan dalam ekosistem industri di Selangor,” katanya.