EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Lori Kompaktor dan Imej Baharu KDEB Waste Management (KDEBWM) di Menara Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Gombak pada 28 Februari 2024. Hadir sama Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Tahir dan Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

KDEBWM sedia 700 lori RORO, 600 kompaktor baharu di seluruh PBT

GOMBAK, 28 FEB: Sebanyak 700 lori ‘Roll On Roll Off’ (Roro) dan 600 lori kompaktor baharu disediakan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk beroperasi di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO kerajaan tempatan berkata penyediaan aset berkenaan susulan penyambungan kontrak syarikat pengurusan sisa pepejal itu dengan semua PBT yang berkuat kuasa 1 Mac selama tujuh tahun.

Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjadi PBT pertama menerima 75 lori kompaktor pada Oktober lalu.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjadi PBT kedua dengan 49 lori kompaktor, 20 lori RORO manakala Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang ketiga menerima 44 lori kompaktor serta tiga lori RORO hari ini.

“MPKj menjadi PBT menerima jumlah perkhidmatan tertinggi sebanyak 120 lori RORO, 100 lori kompaktor,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Lori Kompaktor dan Imej Baharu KDEBWM di lobi menara MPS, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Tahir dan Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menyaksikan majlis tandangan Surat Setuju Terima (SST) perkhidmatan kutipan sisa pepejal antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk tempoh tujuh tahun di lobi menara MPS, Bandar Baru Selayang pada 28 Februari 2024. KDEBWM diwakili Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Tahir dan MPS oleh Yang Dipertuanya Dato’ Mohd Yazid Sairi. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Suee Lim menambah sambungan perkhidmatan kontrak antara KDEBWM dan PBT selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan sistem pengurusan sampah yang lebih sistematik.

Beliau menjelaskan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, PBT dan KDEBWM diperlukan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

“Tempoh lanjutan kontrak bagi kedua-dua PBT 1 Mac 2024 hingga 1 Mac 2031 (MPS) dan 16 Mac 2024 hingga 16 Mac 2031 (MPAJ).

“Surat Setuju Terima (SST) ditandangani hari ini antara MPS dan KDEBWM lanjutan daripada kontrak perkhidmatan yang sedia ada sebelum ini bermula 1 Mac 2017 dan akan berakhir pada 29 Februari 2024,” katanya.


Pengarang :