EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor teliti semula bayaran elaun ahli majlis PBT

SHAH ALAM, 29 FEB: Kerajaan Negeri meneliti semula bayaran elaun kepada ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kesesuaian kedudukan kewangan pentadbiran.

EXCO kerajaan tempatan berkata kali terakhir semakan bayaran elaun adalah pada 2017 mengikut Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) 2021-Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis PBT Negeri.

Jelas Dato’ Ng Suee Lim, kadar tersebut dipersetujui yang mana ahli majlis PBT bertaraf bandaraya dan perbandaran bernilai RM2,500 sebulan manakala daerah RM2,000.

“Namun, mengambil kira cabaran dan bebanan tugas ahli majlis dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti setempat semakin meningkat selain kos sara hidup, kita akan pertimbang semula bayaran elaun.

“Pulau Pinang telah laksana kadar baharu ahli majlis daripada RM2,500 kepada RM4,000 berkuatkuasa 1 Oktober 2023. Kerajaan Negeri akan teliti kesesuaian cadangan ini dari semasa ke semasa.

“Kerajaan prihatin tetapi akan pertimbang dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan keperluan serta kedudukan kewangan,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Empat PBT kini berstatus bandaraya iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Diraja Klang.


Pengarang :