Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN cadang kaji semula reka bentuk bangunan baharu

SHAH ALAM, 29 FEB: Wakil rakyat Subang Jaya meminta Kerajaan Negeri menilai semula reka bentuk bangunan baharu  yang bakal dibina dengan menitikberatkan kemudahan mesra wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

Michelle Ng Mei Sze berkata pertimbangan itu penting bagi pembangunan keluarga dan selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Sebagai ibu, saya tak boleh kira dah berapa kali saya perlu menyusu dalam tandas, menukar lampin bayi atas permukaan tandas yang tidak sesuai, menggunakan bilik menyusu lokasinya tidak sesuai.

“Saya cadangkan bangunan baharu bakal dibina perlu disemak semula piawaian pembangunan dan mematuhi ciri-ciri mesra wanita, kanak-kanak dan OKU.

“Sementara itu, bagi bangunan lama pula Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan insentif pemberian geran atau skim dengan khidmat kepakaran percuma untuk pengubahsuaian bangunan,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin mengingatkan supaya RS-1 dilaksana mengikut garis masa yang telah ditetapkan terutama membabitkan program kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Titah Baginda dalam Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15, RS-1 dimulakan pada tahun ini untuk memastikan ekonomi negeri lebih kukuh dan berdaya saing bagi jangka masa lima tahun akan datang.

Empat teras strategik RS-1 meliputi pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian serta peningkatan kecekapan tadbir urus.

 


Pengarang :