Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika sidang media prestasi kutipan dan agihan zakat Wilayah Persekutuan di ibu negara pada 26 Januari 2023. Foto Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im
AGENDANASIONAL

Jakim lancar e-Book Modul Minda Maqasid bantu gubal dasar

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini melancarkan e-Book Modul Minda Maqasid bagi membantu kementerian-kementerian menggubal dasar berasaskan Maqasid Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Maqasid Syariah merupakan objektif asas pensyariatan bagi memastikan kemaslahatan secara menyeluruh dalam tadbir urus khususnya hal ehwal agama Islam.

“Inilah perkara yang selalu diulang-ulang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan peranan JAKIM dilebarluaskan dalam pentadbiran negara.

“Input-input daripada JAKIM kepada pentadbiran negara amat penting untuk memastikan pelaksanaan agenda utama kerajaan dalam membangun Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pengukuhan Nilai dari Perspektif Maqasid Syariah ke Arah Kemampanan Tadbir Urus Baik di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

Mohd Na’im berkata beliau sendiri turut menggerakkan Pelan Transformasi Al-Falah 2023 hingga 2027 yang mengandungi 31 program utama merentas lima teras pelan transformasi bagi agensi-agensi di bawah seliaannya yang berkaitan hal ehwal agama.

– BERNAMA


Pengarang :