Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop merasmikan pertandingan memancing Universiti Selangor di Tasik Lindungan Burung, Bestari Jaya pada 24 Februari lalu. Foto FACEBOOK UNIVERSITI SELANGOR
AGENSISELANGOR

Pertandingan memancing Unisel hapus ikan penakluk, lindungi ekosistem

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 1 MAC: Kehadiran ikan asing bersifat penakluk spesies ‘peacock bass’ mendorong Universiti Selangor (Unisel) menganjurkan pertandingan memancing pada 24 Februari lalu.

Pertandingan yang diadakan di Tasik Lindungan Burung Unisel Bestari Jaya itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Saipolyazan Mat Yusop.

Beliau ketika berucap menyokong usaha Unisel itu kerana ikan terbabit memberi ancaman kepada ekosistem ikan tempatan.

“Usaha seperti ini dapat melestarikan lagi Tasik Lindungan Burung sebagai pusat eko pelancongan di Selangor selain menggiat aktiviti sukan memancing dalam kalangan masyarakat sekitar,” katanya.

Sementara itu Presiden dan Naib Canselor Unisel memaklumkan Tasik Lindungan Burung menjadi lubuk kepada ikan spesies tempatan seperti toman, sebarau dan baung.

“Namun, pihak universiti menerima aduan mengenai kehadiran spesies ikan asing iaitu ikan ‘peacock bass’ di perairan tasik.

“Kehadiran ikan ini menyebabkan ikan tempatan yang dahulunya meriah, kini hampir lenyap akibat terpaksa bersaing dengan ikan pendatang ini.

“Implikasinya, ikan asing ini bukan sahaja menjadi pemangsa malah turut mengganggu keseimbangan biodiversiti semula jadi tasik Unisel,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Pertandingan memancing dengan kerjasama KAYAX, Monstercraft Fishing, Fishing Tag Malaysia dan Boatyard MY itu menyaksikan Mohd Khairul Asyraf dinobatkan juara, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.


Pengarang :