Malaysia menyasarkan untuk mempercepat pelancaran 5G bagi mencapai 80 peratus liputan 5G pada akhir 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia mahu contohi Norway perkukuh rangkaian 5G dalam industri

OSLO, 1 MAC: Malaysia boleh mempelajari usaha kerajaan Norway untuk memperkukuh penggunaan rangkaian 5G dan teknologinya dalam kalangan industri tempatan, terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penggunaan 5G di negara Nordic telah mencecah 58 peratus daripada jumlah pengguna telekomunikasi sejak ia dilaksanakan pada Mac 2020.

Sementara itu, Malaysia merekodkan hampir 10.07 juta langganan perkhidmatan 5G, mewakili kadar penggunaan sebanyak 29.9 peratus setakat 31 Januari.

Fahmi berkata langkah utama untuk menggalakkan penggunaan teknologi 5G dalam industri termasuk meningkatkan kesedaran dan melaksanakan kes gunaan, selain memperkenalkan insentif atau penyelesaian untuk industri tertentu.

“Di Norway, mereka telah mula menjalankan projek rintis 5G dengan industri perikanan salmon, dan mereka juga menggunakan teknologi 5G untuk penternakan salmon.

“Di Malaysia, terdapat beberapa sektor berpotensi tinggi seperti industri semikonduktor, dan oleokimia, selain daripada pelabuhan dan industri petroleum,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat Komunikasi Generasi Seterusnya anjuran Telenor Group di ibu pejabat globalnya di Fornebu Campus, di sini pada Khamis.

Semasa perbincangan meja bulat itu, wakil kerajaan Norway yang diketuai oleh Pengarah Kementerian Pendigitalan dan Tadbir Urus Awam, Jarl Fjerdingby memberikan taklimat mengenai pendekatan dasar Norway ke arah membina masyarakat digital.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai persaingan pasaran dan kerjasama ekosistem sebagai pemacu inovasi mengenai teknologi dan penyelesaian baharu; membangunkan penyelesaian komersial yang dipacu permintaan, sama ada untuk segmen perusahaan atau pengguna; serta menggalakkan penggunaan yang selamat, bertanggungjawab dan mampan dalam teknologi ini.

Mengulas selanjutnya mengenai perbincangan meja bulat itu, Fahmi menyatakan persamaan dan perbezaan antara Malaysia dan Norway dalam perjalanan 5G masing-masing.

“Apa yang boleh kita tekankan daripada sesi meja bulat ini adalah beberapa perbincangan dengan badan kawal selia Norway yang saya akan sampaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kami mahu hubungan ini (dengan Norway) diteruskan supaya pengalaman Norway dapat diterjemahkan dalam beberapa rancangan kami,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :