Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN mohon PBT berikan yang terbaik, segerakan projek tebatan bah

SHAH ALAM, 1 MAC: Pihak berkuasa dimohon mempercepat projek tebatan banjir selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menekankan perkhidmatan cemerlang kakitangan awam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek berkata kawasan itu tidak ketinggalan berdepan musibah banjir dengan kekerapan lima hingga enam kali setahun berbanding hanya dua kali sebelum ini.

“Dalam titah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini turut dibangkitkan mengenai perkhidmatan cemerlang pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan.

“Saya mohon PBT, Jabatan kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran terus memberi perkhidmatan terbaik khususnya infrastruktur,” kata Lwi Kian Keong dalam sidang Dewan Negeri hari ini.

Membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, beliau turut menyambut baik saranan Baginda yang mengingatkan penjawat awam supaya tidak malas dan lalai dalam tanggungjawab membangun negeri.

Justeru, jelasnya, penglibatan wakil rakyat dalam program dan dasar Kerajaan Negeri khususnya dalam menentukan keputusan penting harus terus diperkasa.

“Sungai Pelek berpandangan budaya ‘Little Napoleon’ patut dihapuskan dan ‘No Wrong Door Policy’ perlu diamalkan bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat,” katanya.

Sultan Sharafuddin pada istiadat pembukaan DNS Selasa lalu menasihati penjawat awam negeri melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Baginda mahu kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan kerajaan dikurangkan segera, sekali gus memastikan perkhidmatan untuk rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.


Pengarang :