Empangan Semenyih. Foto Facebook Air Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Tujuh empangan di Selangor stabil, paras air lebih 85 peratus

SHAH ALAM, 1 MAC: Paras air di tujuh empangan di Selangor berada pada tahap baik meski ketika ini negara berdepan cuaca panas.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim berkata kapasiti semua empangan air di negeri ini berada pada paras melebihi 85 peratus.

“Setakat ini tiada kritikal, tiga (empangan) berada pada paras 85 peratus manakala bakinya lebih 90 peratus. Tahap kritikal adalah paras bawah 70 peratus.

“Keadaan masih stabil dan hujan pun ada lagi tetapi kita tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita jangka fenomena El Nino hanya mula terasa suku kedua iaitu Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Annex di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook melaporkan suhu panas tahap berjaga-jaga direkod di 21 kawasan di negara ini.

Kawasan terbabit adalah seluruh Perlis, Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang dan Baling, Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut, Pulau Pinang.

Lokasi lain adalah Kuala Kangsar (Perak); Petaling dan Sepang (Selangor); Kuala Lumpur; Beaufort (Sabah) dan Limbang (Sarawak).

Pokok Sena, Kedah pula merekodkan suhu panas gelombang haba iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.


Pengarang :