Sebahagian daripada 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh Kemboja yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan ketika tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 9 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

326 mangsa tipu kerja luar negara diselamatkan, 133 masih terkandas

KUCHING, 1 MAC: Seramai 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara diselamatkan dari 2021 hingga 23 Februari lalu manakala 133 orang masih terkandas di luar negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kebanyakan mangsa dibawa ke negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos.

“Daripada kajian 73 peratus bekerja sebagai scammer, 12 peratus petugas khidmat pelanggan, lapan peratus bekerja di kasino dan tujuh peratus menjalankan pelbagai pekerjaan seperti tukang masak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Zon Sabah dan Sarawak tahun 2024 di sini, hari ini.

Rusdi berkata antara faktor utama yang membuat mangsa dipengaruhi dan diperdayakan untuk bekerja di luar negara ialah faktor tarikan tawaran gaji lumayan serta mangsa yang hilang punca pendapatan.

“Mengikut trend semasa, mangsa ini terpengaruh dan diperdaya dengan iklan tawaran pekerjaan di laman sosial contonya seperti Facebook,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :