Pasukan Gombak TOT United melakar kemenangan kedua selepas menundukkan Terengganu 4-2 dalam aksi Liga Futsal Primer Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada 2 Mac 2024. Foto Ihsan Gombak TOT United
AGENDASUKANKINI

Gombak TOT United kekalkan momentum kemenangan selepas tundukkan Terengganu di MPFL

SHAH ALAM, 2 MAC: Gombak TOT United mengekalkan momentum kemenangan kali kedua selepas menundukkan Terengganu 4-2 dalam aksi Liga Futsal Primer Malaysia (MPFL) hari ini.

Dalam perlawanan di Kompleks Sukan Panasonic di sini, gol Gombak TOT United disumbangkan Nursyafiq Madselan pada minit ke 10, sebelum pemain Terengganu Alif Mat Amin menjaringkan gol sendiri pada minit ke-14.

Dua lagi gol Gombak TOT United disumbangkan Guntur Sulistyo Ariwibowo pada minit ke-18 dan 38 manakala pemain Terengganu Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-16 dan 24.

Pengurus Pasukan Gombak TOT United, Haris Fazilal berkata pasukannya itu berada pada tahap terbaik selepas mengalami kekalahan dengan pasukan JDT di perlawanan pertama.

“Selepas tewas mengejut dengan JDT, kami bina semula pasukan ini dan pemain mengikut apa yang kita rancang. Keputusannya kita menang dengan Sabah dan hari ini kita menang dengan Terengganu.

“Pada perlawanan akan datang kita akan baiki beberapa kelemahan,” katanya.

Pada 17 Mac ini Gombak TOT United akan bertemu Pahang Rangers di Kuantan.


Pengarang :