Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Dr Fahmi Ngah mendengar ceramah ketika program Selangor Bertadabbur 2024 di Masjid Al-Husna Petaling Jaya pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tadabbur al-Quran bertemakan surah al-Hujurat di 20 surau, masjid terpilih

PETALING JAYA, 3 MAC: Program Selangor Bertadabbur yang memasuki tahun keenam penganjurannya diteruskan bagi mengimarah Ramadan kali ini.

Pengarah programnya Marwan Bukhari Abdul Hamid berkata program keagamaan yang bertemakan surah al-Hujurat bakal berlangsung di 20 surau dan masjid terpilih.

Pengarah Program Selangor Bertadabbur Ustaz Marwan Bukhari Abdul Hamid berucap ketika Program Selangor Bertadabbur 2024 di Masjid Al-Husna Petaling Jaya pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita memilih tema surah al-Hujurat iaitu surah ke-49 dalam al-Quran kerana ia sarat dengan mesej akhlak kemasyarakatan yang sesuai dihayati dan diamati setiap lapisan masyarakat.

“Selain 20 masjid dan surau terpilih, program ini juga akan diadakan di lima Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Program Selangor Bertadabbur 2024 di Masjid Al – Husna Petaling Jaya pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menyampaikan penerangan ringkas di hadapan Dato’ Menteri Besar yang menyempurnakan pelancaran program berkenaan di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway di sini, semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang diiringi EXCO Agama Dr Fahmi Ngah turut berkesempatan mendengar ceramah bertajuk Adab Kemasyarakatan berdasarkan surah al-Hujurat yang disampaikan Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Dr Fahmi Ngah mendengar ceramah tadabbur al-Quran ketika Program Selangor Bertadabbur 2024 di Masjid Al – Husna Petaling Jaya pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Marwan menambah program anjuran Asatizah Selangor (ANAS) dengan kerjasama Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Jais juga akan mengedar karya terjemahan surah al-Hujurat.

“Untuk menjayakannya, buku terjemahan tafsir surah ini iaitu karya Sheikh Majdi Makki terbitan ANAS akan digunakan dan diedar di setiap lokasi terlibat,” katanya.

Program Selangor Bertadabbur mula diperkenal sejak 2019 bagi menghidupkan Ramadan dengan kegiatan keagamaan.


Pengarang :