Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih gangsa acara keirin di Kejohanan Kebangsaan Trek Berbasikal Australia 2024 di Velodrom Anna Meares Brisbane, Australia pada 2 Mac 2024. Foto Facebook Azizulhasni Awang
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni raih gangsa di Brisbane, mohon doa kesihatannya meningkat menjelang Paris 2024

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa acara keirin di Kejohanan Kebangsaan Trek Berbasikal Australia 2024 di Velodrom Anna Meares Brisbane, Australia hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahannya di suku akhir acara pecut lelaki, semalam.

Pingat emas dimenangi pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 Matthew Richardson manakala Matthew Glaetzer meraih perak.

“Alhamdulillah syukur saya mendapat pingat gangsa dalam acara keirin di kejohanan kebangsaan Australia 2024. Perlumbaan peringkat akhir tadi sangat laju dengan catatan masa 9.57 saat (s) untuk 200 meter terakhir.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Australian Cycling kerana membenarkan saya untuk berlumba di kejohanan kebangsaan mereka (biasanya mana-mana negara tidak membenarkan negara lain berlumba di kejohanan kebangsaan mereka) dan terharu kerana kehadiran saya dialu-alukan oleh semua orang,” kata Mohd Azizulhasni dalam hantaran di akaun Instagram beliau.

Menurut Mohd Azizulhasni, selepas kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, beliau telah dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama tiga minggu berikutan masalah perikarditis yang dialaminya.

Beliau berkata dalam tempoh itu tidak banyak latihan dapat dilakukan dan sekadar melakukan latihan ringan.

“Namun, kerana memikirkan Sukan Olimpik Paris hanya berbaki lebih kurang lima bulan sahaja lagi, saya memilih untuk hadir juga ke perlumbaan ini bagi melihat keadaan prestasi semasa dan juga sebagai pentas untuk latihan perlumbaan.

“Berbaki lima bulan sahaja lagi ke Sukan Olimpik Paris 2024, dan saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan tahap kesihatan saya akan terus meningkat. Terima kasih atas sokongan anda semua,” katanya.

Pada aksi suku akhir acara pecut semalam, The Pocketrocketman tewas 0-2 kepada Glaetzer di kejohanan yang berlangsung selama lima hari dan berakhir 5 Mac.

– BERNAMA


Pengarang :