SHAH ALAM, 3 MAC : Seramai 55 kanak-kanak berusia lingkungan 10 hingga 16 tahun menyertai Klinik Badminton sempena Pameran Anak-anak Sidek: Lagenda Badminton Negara di sini, hari ini.
EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata pihaknya menerima permintaan yang sangat menggalakkan namun pengambilan peserta pada peringkat permulaan ini perlu dihad.
Menurutnya, program dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan Kelab Badminton Nusa Mahsuri bertujuan mendedahkan teknik asas badminton kepada peserta.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/AMY_8921-500x333.jpg.webp)
“Ia juga bertujuan menggalakkan minat peserta muda ini dalam sukan badminton selain melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas selari dengan objektif Dasar Sukan Negara.
“Alhamdulillah, penyertaan juga amat menggalakkan apabila peserta bukan sahaja dari Selangor tetapi saya dimaklumkan ada dari Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Johor.
“Insya-Allah, jika mendapat sambutan saya cadangkan klinik ini dapat disambung lagi dengan lebih ramai peserta,” katanya ditemui selepas merasmikan klinik berkenaan di Dewan Badminton Kelab Sukan SUK Selangor di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/AMY_8893-500x321.jpg.webp)
Bermula 7.30 pagi hingga 5 petang, kesemua peserta klinik badminton akan menjalani sesi pembelajaran dan latihan diketuai Lagenda Badminton Negara Datuk Mohmed Misbun Dato’ Mohd Sidek
Mereka juga diberi pendedahan berkaitan teknik asas dalam permainan badminton dan ‘shuttle drill’ yang turut diajar oleh Dato’ Seri Mohd Jalani Sidek dan Abdul Rahman Sidek.