Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijenamakan semula dengan menggunakan akronim Kesuma bagi urusan rasmi kementerian itu bermula 4 Mac 2024. Foto Facebook Kementerian Sumber Manusia
AGENDANASIONAL

Kementerian Sumber Manusia dikenali Kesuma mulai esok, selaras misi strategik

PUTRAJAYA, 3 MAC: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijenamakan semula dan akan menggunakan akronim ‘Kesuma’, bagi sebarang urusan rasmi berkaitan kementerian itu bermula esok.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Mac, mengambil maklum dan bersetuju tentang penjenamaan semula KSM dengan singkatan Kesuma.

“Dalam dua bulan ini, selaras dengan misi strategik 3K, Kesuma telah memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja, melaksanakan pembaharuan ke atas institusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, tegas memberi penekanan terhadap hak gaji pekerja dan meluaskan liputan skim keselamatan sosial.

“Ia termasuk meningkatkan kualiti latihan kemahiran serta melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan tatakelola di kesemua jabatan dan agensi kementerian,” menurut kenyataan kementerian itu, hari ini.

Kesuma dipetik daripada suku kata awal frasa setiap perkataan Kementerian Sumber Manusia (KE.SU.MA), yang merupakan perkataan lama dalam Bahasa Melayu yang bererti ‘bunga’.

“Keindahan maksud bahasa ini bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian, yakni memperkasakan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan pekerja,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :