Ibu kepada kembar Palestin Wesam dan Naeem Abu Anza, yang dilahirkan semasa konflik antara Israel dan Hamas memeluk erat jenazah anaknya yang terbunuh dalam serangan itu di Rafah, Semenanjung Gaza pada 3 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia kekal perjuang nasib Palestin, enam tuntutan jadi pegangan

SHAH ALAM, 4 MAC: Malaysia terus lantang memperjuang nasib penduduk Palestin di Gaza sehingga hari ini melalui enam tuntutan, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata tuntutan itu merangkumi gencatan senjata serta-merta, menghentikan aktiviti penempatan Israel dan keganasan terhadap penduduk Palestin serta pemindahan secara paksa.

Selain itu, jelasnya, kerajaan menggesa siasatan terhadap rejim Zionis atas pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyokong inisiatif rundingan Arab untuk penyelesaian kedua-dua negara.

“Malaysia turut menuntut untuk memerangi peningkatan global Islamophobia dan mengemukakan usul Palestin diterima masuk keanggotaan penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Mohamad menambah kerajaan turut melancarkan kempen kiriman poskad khas oleh perdana menteri kepada setiausaha PBB sebagai tanda solidariti.

Katanya lagi, Malaysia juga menyertai sesi pendengaran awam Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague pada 22 Februari untuk mengemukakan kenyataan lisan berkaitan pencabulan berterusan Israel.

“Kerajaan atas gerak kerja bersepadu melalui Ops Ihsan akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita di Gaza,” katanya.


Pengarang :