EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sistem sokongan, sumber pakar tarik potensi pelaburan asing

SHAH ALAM, 5 MAC: Pelbagai insentif bukan kewangan disediakan pentadbiran negeri bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Beliau berkata bantuan itu termasuk menyelaras kelulusan pembangunan selain program membantu mempercepat pelaksanaan projek pelaburan dengan sokongan yang diperlukan.

“Insentif ini menyediakan ruang kerja bersama bagi bakal pelabur dalam atau luar negara sebelum melabur supaya mereka dapat menerokai ekosistem pelaburan di sini.

“Kemudahan ini penting sebagai pemudah cara dan secara langsung membantu mempercepat projek dengan sokongan diperlukan, sekali gus mengurangkan kos awalan pelabur baharu,” katanya.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri hari ini, Sze Han berkata negeri turut mewujudkan program perkongsian makmal bagi mengurangkan kos penyelidikan dan pembangunan produk.

Menurutnya, program itu membantu pemain industri mendapatkan kemudahan dan sumber kepakaran selain menggalakkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan penyelidikan tempatan.

“Ini akan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan inovatif selain berpontensi merapatkan hubungan dan kerjasama dengan pemain industri dalam sektor sains hayat,” katanya.

 


Pengarang :