EXCO Kemajuan Desa & Perpaduan Datuk Rizam Ismail berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pelantikan Ketua Kampung Tradisi baharu dijangka muktamad April

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri dijangka memuktamadkan pelantikan Ketua Kampung Tradisi bagi penggal yang baharu menjelang April ini, kata EXCO kemajuan desa.

Datuk Rizam Ismail berkata tiada isu ketiadaan ketua kampung pada masa ini memandangkan perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi sedia ada dilanjutkan sehingga 31 Mac.

“Daripada segi kesinambungan kepimpinan di peringkat kampung, saya ingin memberi jaminan bahawa tiada isu ketiadaan ketua kampung pada masa ini.

“Kita harap perkara ini diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Selain itu, Rizam berkata Kerajaan Negeri melaksanakan kerjasama erat dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA), GIATMARA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk pembangunan pendidikan dan keusahawanan luar bandar.

“Ia bagi memastikan warga desa menerokai peluang dan ruang yang ditawarkan untuk memberi perubahan dan peningkatan terhadap tahap sosioekonomi keluarga,” katanya.

Beliau yang juga EXCO perpaduan berkata Kerajaan Negeri dalam proses menggubal Dasar Perpaduan Rumpun Selangor dan menggubah Lagu Tema Perpaduan Rumpun Selangor yang dijangka dilancarkan sempena Minggu Perpaduan Negara pada Mei ini.


Pengarang :