Orang ramai mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Hamzah, Kawasan 1, Klang pada 3 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

35,000 peluang kerja pelbagai sektor ditawar menerusi jelajah JobCare tahun lalu

SHAH ALAM, 4 MAC: Kira-kira 35,000 peluang pekerjaan disedia kepada rakyat Selangor melalui program Jelajah JobCare sepanjang tahun lalu, maklum EXCO sumber manusia.

V Papparaidu berkata inisiatif berkenaan membantu rakyat mendapatkan kerja yang bersesuaian dari pelbagai sektor yang ditawarkan majikan dalam kawasan komuniti.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu menjawab soalan ketika Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Program dilaksanakan di setiap daerah bersama Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).

“Ia mensasarkan masyarakat tempatan sebagai kumpulan utama dan pencari kerja berpeluang untuk menerokai potensi diri dengan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan dalam kawasan komuniti daerah.

“Pada masa sama dapat membantu ibu bapa untuk menguruskan persekolahan anak-anak mereka (kerana bekerja di kawasan berdekatan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Papparaidu berkata peranan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia telah diperluas bagi penggal baharu untuk membangunkan dan melahirkan pekerja kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara.

“Ini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja di samping menyelesaikan permasalahan pekerjaan rakyat Selangor khususnya individu yang dikategorikan sebagai golongan rentan seperti warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan bekas banduan,” katanya.


Pengarang :