EXCO Belia Mohd Najwan Halimi menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor hantar 1,138 atlet ke SUKMA, sasar tiga pasukan terbaik

SHAH ALAM, 4 MAC: Seramai 1,138 atlet Selangor bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata penganjuran di Sarawak kali ini melibatkan 37 acara, paling banyak dalam sejarah sukan dwitahunan itu.

“Kita sasarkan menjadi tiga pasukan terbaik. SUKMA edisi lepas, kita di tempat keempat dan kali ni ini kita akan perbaiki,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Seri Serdang Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi berhubung persediaan kontinjen negeri menghadapi sukan itu pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Najwan berkata Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM8 juta bagi menjalankan program pembangunan sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu.

“Jumlah rendah berbanding negeri pencabar antaranya Sabah (RM27.2 juta), Sarawak (RM23.1 juta) dan Terengganu (RM20 juta). Kita akan meminta tajaan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Bulan lalu, Majlis Sukan Negeri Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan Majlis Sukan Gyeonggido (GSC) bagi berkongsi kepakaran bidang sains sukan dan pembangunan atlet sebagai persediaan menghadapi SUKMA.


Pengarang :