Empat anggota, pegawai Maritim Malaysia terselamat selepas helikopter jenis Agustawestlan AW139 terhempas di kawasan perairan berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 10 pagi, 5 Mac 2024. Foto Facebook BERNAMA TV
AGENDANASIONAL

Helikopter Maritim Malaysia terhempas, empat penumpang termasuk juruterbang terselamat

SHAH ALAM, 5 MAC: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter jenis Agustawestlan AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terhempas di kawasan perairan berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata helikopter dengan nombor pendaftaran M72-01 berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 9.10 pagi untuk latihan penerbangan.

Beliau berkata hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 9.20 pagi namun tiada panggilan kecemasan diterima.

Empat anggota, pegawai Maritim Malaysia terselamat selepas helikopter jenis Agustawestlan AW139 terhempas di kawasan perairan berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 10 pagi, 5 Mac 2024. Foto Facebook BERNAMA TV

Menurutnya Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter.

“Terdapat empat penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

“Semua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 10.58 pagi,” katanya.

Menurutnya siasatan dijalankan Lembaga Siasatan Maritim Malaysia.


Pengarang :