Empat anggota, pegawai Maritim Malaysia terselamat selepas helikopter jenis Agustawestlan AW139 terhempas di kawasan perairan berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 10 pagi, 5 Mac 2024. Foto Facebook BERNAMA TV
AGENDANASIONAL

Maritim Malaysia: Helikopter mendarat cemas ketika latihan menyelamat

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan helikopter jenis AW139 kendaliannya melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya pada 10.15 pagi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu daripada pemancing.

Beliau berkata pesawat itu diterbangkan Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot Pengawal 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 dari Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

“Semua kru AW139 diselamatkan pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke SUMS,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hamid berkata sebelum itu, bot pemancing di lokasi kejadian memberi bantuan awal kepada kru terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) serta KM Bagan Datuk turut diatur gerak bagi melakukan kawalan keselamatan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat ditamatkan 11.15 pagi dan APMM akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :