Suasana di sebuah gedung pakaian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur pada 10 April 2023 dipenuhi warga kota yang berkunjung untuk membeli-belah persiapan awal menjelang sambutan Aidilfitri
AGENDANASIONAL

Kerajaan tidak cadang laksana semula GST

SHAH ALAM, 5 MAC: Kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata menteri kewangan II,

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ini kerana kerajaan mengambil kira kesan terhadap rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup ketika ini.

“Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula GST kerana ia cukai penggunaan yang berasas luas, oleh itu, bukan masa sesuai untuk melaksanakannya.

“Ini memandangkan rakyat terutama B40 sedang menghadapi cabaran kos hidup. Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5 peratus, tetapi bagi makanan dan minuman cukai hampir lima peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukti Gantang) pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah menambah kerajaan akan memberi tumpuan menambah baik sistem percukaian sedia ada bagi memastikan rakyat terutama golongan rentan tidak terbeban.

“Kerajaan mengambil langkah memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum memperkenalkan percukaian penggunaan baharu seperti cukai barangan dan perkhidmatan GST.

“Jadi inilah pendekatan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan hasil negara. Ia dibuat secara berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu,” katanya.


Pengarang :