Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Van DRT bakal diperluas ke KLIA, mudahkan tempahan ke lokasi pelancongan

SHAH ALAM, 6 MAC: Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) bakal diperluas ke kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam masa terdekat.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata inisiatif itu sebahagian usaha memudahkan pelawat dalam dan luar negara membuat tempahan ke destinasi pelancongan sekitar lokasi tersebut.

“Kerajaan Negeri dalam perancangan membekalkan perkhidmatan van DRT ke sekitar KLIA kerana terima permintaan syarikat penerbangan bagi memudahkan mereka membuat tempahan.

“Kita dalam perbincangan dengan syarikat swasta dan akan umumkan perkhidmatan ini di zon baharu dalam masa terdekat,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Pelek Lwi Kian Keong, jelasnya, pelbagai inisiatif dilaksana Kerajaan Negeri bagi memudahkan pergerakan pelancong ke seluruh Selangor.

Menurut Sze Han, usaha berkenaan termasuk bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) yang dimulakan di laluan bermula dari KLIA hingga Sungai Lalang.

“Jika dapat sambutan baik, boleh bekerjasama dengan syarikat pelancongan supaya bekalkan laluan di kawasan tumpuan, bukan sahaja Sungai Pelek tetapi seluruh Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata van DRT diperkenal bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan awam berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkhidmatan itu boleh melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu mencapai laluan sempit dan padat.


Pengarang :