EXCO Pelaburan Ng Sze Han menjawab pertanyaan ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

50 syarikat sertai latihan, bimbingan percuma bawah Program Pemecut Selangor

SHAH ALAM, 6 MAC: Sebanyak 50 syarikat pemula sertai latihan dan bimbingan percuma bawah Program Pemecut Selangor (SAP) kohort ketujuh yang dijadual berlangsung pada Jun hingga Oktober ini.

EXCO pelaburan berkata program berkenaan menekankan kepada perdagangan karbon, tenaga diperbaharui dan kenderaan elektrik serta pertanian pintar dan kitar semula.

“Program selama empat bulan ini turut menerapkan konsep mampan dalam syarikat tunas perintis bagi menepati piawaian alam sekitar, sosial dan amalan tadbir urus (ESG).

“Pendaftaran dibuka kepada semua syarikat pemula. Sebanyak 50 syarikat akan dipilih sebelum 20 daripadanya disenarai pendek untuk sesi pembentangan pada Oktober. Dari situ kita akan pilih 10 pemenang,” kata Ng Sze Han di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan Azmizam Zaman Huri, beliau memaklumkkan program kali ini mengandungi 17 modul latihan dan dibimbing 10 mentor dari pakar industri kapital dan teknologi selain menyertai lawatan industri.

“Pemenang berpeluang menyertai Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2024 selain lawatan penyampaian idea ke pusat ekonomi mampan Asia pada November ini,” katanya.

Sejak dianjur pada 2018 hingga tahun lalu, Sze Han menjelaskan sebanyak 190 syarikat pemula telah latih dan 61 daripadanya turut menerima pelaburan awal sama ada melalui geran, dana modal teroka dan dana khalayak berekuiti.


Pengarang :