AGENDAJENAYAH

Bot nelayan tempatan ditahan, miliki dadah, daun ketum

SHAH ALAM, 6 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Sekinchan Ahad lalu atas beberapa kesalahan termasuk memiliki dadah.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata bot kelas B1 itu dikesan ketika rondaan rutin kira-kira 10.8 batu nautika barat Sekinchan.

Beliau berkata bot yang dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 30 hingga 38 tahun itu sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tiga set peralatan menghisap dadah, tiga peket plastik lut sinar mengandungi hablur kristal berwarna putih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar tiga gram, tiga botol ubat batuk dan satu plastik beg hitam mengandungi daun ketum anggaran tiga kilogram.

“Turut didapati satu tangki simpanan bahan api yang telah diubah suai berisi anggaran 400 liter minyak diesel di bahagian hadapan dek bot,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 selain Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan warga asing dan memasang alat perhubungan elektronik menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Siasatan turut melibatkan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiga kru yang ditahan bekerja tanpa permit sah, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :