Pegawai dan anggota polis mengaminkan doa pada Majlis Pelepasan Bantuan Sumber Manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Stadium Indera Mulia Ipoh pada 10 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan kaji penstrukturan semula gaji, emolumen anggota polis

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Persekutuan sedang membuat kajian penstrukturan semula gaji dan emolumen membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan menteri dalam negeri berkata ia selaras dengan usaha kerajaan Madani melakukan penstrukturan gaji dan elaun membabitkan semua anggota perkhidmatan awam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Foto BERNAMA

“Ia turut meliputi kajian berkaitan elaun sara hidup membabitkan semua anggota di bawah KDN. Buat masa ini, sebagai contoh, elaun sara hidup (anggota polis) diberi mengikut lokasi penempatan mereka, iaitu pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan.

“Kerajaan sedar kadar ini rendah dibanding kos hidup semakin tinggi terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Maka KDN telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menilai aspek ini,” kata Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd (BN-Tampin) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pula, Shamsul memberitahu gaji pokok diterima anggota polis tidak statik, sebaliknya akan sentiasa dikaji.

“KDN akan sentiasa mengkaji dan anggota akan terima pergerakan gaji tahunan apabila genap setiap tahun perkhidmatan.

“Emolumen merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan elaun lain diberikan berdasarkan penugasan, kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan kerajaan,” katanya.


Pengarang :