AGENDAJENAYAH

Wanita warga emas antara tiga maut kemalangan empat kenderaan

JOHOR BAHRU, 6 MAC: Wanita warga emas antara tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang di Taman Permas Jaya di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya Pegawai Bomba Kanan II M Haridas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.41 malam tadi dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Balai Johor Jaya, dibantu FRT dan EMRS dari BBP Tebrau dengan sembilan anggota bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata kemalangan itu melibatkan sebuah treler jenis Scania dan tiga kereta iaitu jenis Perodua Myvi, Perodua Alza dan Honda Civic.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta Honda Civic berusia 45 tahun dan (penumpang) wanita warga emas berusia 73 tahun manakala mangsa ketiga ialah pemandu kereta Perodua Alza berusia 46 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat sementara pemandu Perodua Myvi berusia 40-an dan pemandu treler berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital sama untuk rawatan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :